Friday, 8 April 2016

Francais di Malaysia

PENGENALAN
          
Umum mengetahui perniagaan makanan segera seperti Mc Donald , KFC, Pizaa Hut dan sebagainya di kaitkan dengan sistem perniagaan francais, walaubagaimanapun perniagaan secara francais di Malaysia masih menjadi kaedah perniagaan yang baru di kalangan usahawan walaupun industri ini dipromosi dan disokong oleh kerajaan sejak awal tahuan 1990-an lagi. Francais merupakan satu sistem perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan dikembangkan dengan pesatnya di Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu. Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis, Franco yang bermaksud kebebasan. Pada ketika itu, seorang francaisi adalah merupakan orang penting yang diberi hak dan kebebasan bagi sesuatu wilayah tertentu untuk memastikan pelaksanaan arahan dan peraturan, termasuk membuat penilaian dan memungut cukai, Konsep dan pendekatan ini akhirnya diterima pakai di dalam sektor swasta dan komersial

Sistem francais kemudiannya menjadi popular dan dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara.Sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Megatrends, John Naisbitt, franchising is the single most successful concept ever (sistem francais adalah satu-satunya konsep pemasaran yang paling berjaya).

Francais bermaksud satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau syarikat pemegang francais (francaisi) untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan dalam jangkamasa tertentu dan pada lokasi yang ditentukan (Fry 1993). Dengan erti kata lain francais adalah pemilikan bersama perniagaan di antara pemilik produk (francaisor) dan pelabur (francaisi) di mana francaisor akan menyediakan produk dan sistem perniagaan manakala francaisi akan menyediakan modal dalam bentuk dana, sumber tenaga, manusia dan usaha berterusan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Kementeria Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), mendefinisikan francais sebagai satu kaedah pemasaran dan mengedaran produk atau perkhidmatan yang melibatkan dua pihak iaitu francaisor (pemberi hak) dan francaisi (penerima hak). Persatuan Francais Malaysia (akta penubuhan 1966) mendefinisikan francais sebagai suatu perniagaan pengedaran secara bersistem yang menggunakan jenama yang sama dengan kaedah pengurusan yang seragam dan tersusun berlandaskan satu format perniagaan.Francais format perniagaan sahaja yang diiktiraf dibawah akta. Ini bermakna, sesuatu perniagaan yang mempunyai produk, tanda Nama atau cap dagangan dan sistem yang lengkap boleh mendaftar dengan Pendaftar Francais Malaysia (ROF) di bawah Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK.

SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA

Sejarah perkembangan industri francais di mulakan dalam beberapa peringkat bermula seawal abad ke-18 di jerman. Ianya diasaskan oleh seorang pembuat bir dari Jerman yang telah menggunakan jenama pada produknya dan pada ketika inilah format “francais” digunakan dalam sistem perniagaan bagi mendapatkan kontrak untuk membuat bir tersebut.
Pada peringkat ke dua sejarah perkembangan industri francais bertapak di Britain pada abad ke-19 di dalam industri membuat wain. Dari sinilah idea itu berkembang ke Amerika Syarikat melalui Isaac Singer pengasas Singer Sewing Machine Company telah memperbaharui rekaan mesin jahit. Beliau memasarkan mesin jahit beliau ke Amerika Syarikat dan mewujudkan perjanjian pengedaran di Amerika Syarikat. Dari itu perniagaan francais terus berkembang ke Amerika Syarikat melalui revolusi Perindustrian di Britain. 
Pada kurun ke-20 dan peringkat ke tiga perkembangan francais, Sistem francais moden makanan segera telah diperkenalkan oleh A&W Root Beer yang ketika itu dimiliki oleh Howard Deering Johnson dan Reginald Spragu.Beliau telah mencetuskan idea sistem francais makanan segera, dimana pengelola restoran boleh menggunakan jenama,pembekal,rekabentuk,logo dan reka bentuk dalam sebagai pertukaran yuran yang di bayar. Dari sinilah tercetus francais yang tersohor seperti burger king, Mc Donald dan banyak lagi.Bermula dari detik itu, perniagaan berbentuk francais ini terus berkembang menjadi rangkaian produk dan perkhidmatan yang berjenama.
Sistem perniagaan francais telah bermula seawal tahun 1946 di Malaysia menerusi syarikat-syarikat Bata,Stesen-stesen minyak,pegedar-pengedar automobile perhotelan dan singer cuba mengembangkan perniagaan ke Negara ini. Walau bagaimanapun, sistem perniagaan ini tidak berkembang seperti jangkaan kerana ia dianggap masih baharu di kalangan penduduk di negara ini.Namun pertumbuhan pesat perniagaan ini lebih ketara apabila restoran-restoran makanan segera mula menerpa kejayaan apabila sekitar awal tahun 1960-an, A&W menjadi restoran makanan segera Amerika Syarikat yang pertama membuka cawangannya di Kuala Lumpur serta terus berkembang ke seluruh negara melalui sistem francaisnya. Malah usahawan tempatan turut merasa tempiasnya. (Aziela Hanafee, 2013)

Senario ini berterusan dengan pertumbuhan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan system francais, termasuk sektro automotif (jualan kereta, pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan alat ganti dan aksesori), kedai buku, fesyen dan pakaian, kedai runcit. Salun dan kosmetik, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, barang kemas, percetakan, kedai gambar, optometri, farmasi, perkhidmatan kebersihan dan lain-lain.

KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menjalankan perniagaan secara francais memberi kelebihan kerana perniagaan dan jenama sesuatu syarikat dapat diperluaskan melalui pihak ketiga yang akan melaburkan sumber-sumber seperti modal, kewangan, masa dan tenaga."Seseorang francaisi akan menguruskan perniagaan dengan lebih baik berbanding seorang pekerja kerana mereka mempunyai kepentingan secara langsung dalam perniagaan tersebut," katanya.

Sementara itu, bagi seorang francaisi pula risiko menjadi lebih rendah berbanding perniagaan konvensional kerana jenama dan reputasi perniagaan yang dikenali ramai, sistem operasi yang teratur dan pemantauan berterusan oleh francaisor. Sudah pasti lebih ramai lagi usahawan baru akan muncul mewarnai dunia industri francais dan secara tidak lansung, masalah pengangguran dapat dikurangkan. (Aziela hanafee, 2013)
Perkembangan positif secara lansung memberi sumbangan yang besar kepada masa depan pertumbuhan ekonomi negara. Pada ketika ekonomi Negara berada pada landasan yang kukuh, permintaan domestik telah memainkan peranan penting di dalam pertumbuhan ekonomi. Di negara-negara membangun seperti Uganda, Kenya dan Kemboja, francais mikro telah digunakan sebagai model alternatif yang berkesan untuk menangani isu kemiskinan terutamanya dikawasan luar bandar dengan mewujudkan pakej atau program kepada usahawan-usahawan kecil. Menurut Utusan Melayu arkib 27 januari 2014.

Kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan tempatan khususnya bumiputera untuk mencaburkan diri di dalam bidang francais disebabkan faktor risiko yang boleh dianggap rendah tetapi menjanjikan pulangan yang menguntungkan. Perniagaan francais juga membuka banyak peluang kepada usahawan bumiputera untuk membina kejayaan memandangkan ianya sesuai untuk semua lapisan masyarakat tidak kira sama ada penduduk di kawasan Bandar atau luar Bandar.Perniagaan francais bukan hanya memberi tumpuan kepada perniagaan besar yang berbentuk global sahaja, malahan perniagaan secara kecil-kecilan seperti gerai buah-buahan, gunting rambut, kedai runcit dan kedai-kedai makanan seperti cendol dan gerai rojak juga boleh dimodenkan menjadi model perniagaan francais.

Memetik ucapan ketika Asean Franchise Expo and Symposium yang telah diadakan di kuala Lumpur, dari 8-10 Mac 2015“Pelan Rangka Perkembangan Francais Negara(2012-2016) akan menetapkan hala tuju strategik untuk memperkembangkan industri francais, begitu juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab francais rantau ini menjelang 2020.”Tambahnya lagi, sehingga Febuari tahun ini, kita telah menyaksikan peningkatan di dalam system pendaftaran francais sebanyak 68% iaitu dari 366 kepada 651 pada tahun 2015, Menurutnya lagi, daripada 651 pendaftaran, 450 atau 69% adalah francais sayrikat tempatan sementara yang selebihnya adalah francais syarikat antarbangsa. Beliau turut, menyatakan bahawa pendaftaran francais telah meningkat seabanyak 40% kepada 5,465 sejak tahun 2008.

Pelan yang akan meliputi tempoh selama 10 tahun sehingga 2020 ini telah membentuk haluan industri ini agar ia sejajar dengan agenda ekonomi negara. Selain menjamin perkembangan industri francais pada kadar optimum, ia juga menyemai pakar modal insan bagi sector francais. Pelan rangka ini juga mengandungi rancagan untuk mengubah perniagaan melalui francais, mempertingkatkan daya saing francais di Malaysia serta menubuhkan eko-sistem francais yang dinamik dan mampan. Untuk jangka masa panjang, pelan rangka ini turut dilengkapi dengan ramalam prestasi industry francais. Ia mensasarkan agar industri ini mencapai 4.3% dan 9.4% KDNK menjelang tahun 2016 dan 2020.


TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Di Malaysia perkembangan industri francais memperlihatkan tahap pembangunan yang positif dan memberangsangkan dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa dengan beberapa inisiatif sokongan yang diberikan oleh kerajaan meskipun industri francais ini yang merupakan sebuah perniagaannya ada pasang surutnya.

Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA) Mohamad Shukri Salleh (Sinar harian, 4 Ogos 2014),  Menurutya setakat ini, sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara antaranya Nelson , Marry Brown dan Secret Recipe Cakes and Cafe. Kerajaan Malaysia Melalui kepimpinan terdahulu, Tun Dr Mahathir bekas perdana menteri mengorak langkah meperkenalkan francais pada 1993 dan seterusnya memberi fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia .Industri ini mempunyai potensi yang besar tetapi tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenainya masih kurang pada waktu itu. Bagaimanapun kini rakyat Malaysia memahami mengenai perniagaan francais dan setiap tahun penyertaannya semakin meningkat.

Di Malaysia sendiri, perniagaan francais sudah diiktiraf dan terkenal. Ini berikutan berkembangnya pengeksportan jenama-jenama tempatan seperti Langkawi Crystall,Nelson’s, Sugar Bun,Smart Reader, Secret Recipe, Marrybrown dan Old Town yang telah memasuki pasaran luar Negara bermula dari Timur Tengah ke Negara China. Di petik melalui Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd Latip Sarrugi (theantdaily.com, 27 Jan 2015).
Dengan kejayaan beberapa jenama tempatan yang telah menembusi pasaran luar negara ke peringkat antarabangsa, di harapakan ianya menjadi pemangkin dan dorongan untuk syarikat atau jenama lain melalui perniagaan francasi dapat mengembangkan sayap mereka, memandangkan ianya buka suatu proses yang mudah dan pakar-pakar bersetuju bahawa pengembangan agresif perlu ditangani secara berhati-hati dan bijaksana.

Menurut ismail sabri, Pelbagai inisiatif juga telah diperkenalkan bagi menubuhkan infrastruktur sokongan untuk merancang, melaksana, membangun dan mengawal selia pembangunan francais serta memberikan bantuan dan kemudahan pembiayaan.Akta Francais 1998 juga digubal untuk memastikan perkembangan industry ini menjadi sehat dan terkawal. “Oleh yang demikian, kerajaan yakin pelan yang komprehensif penting untuk diwujudkan sebagai arah tuju bagi meyelaras segala peranan, usaha dan tindakan dalam pembangunan industri francais di negara ini. Usaha menggubal strategik dan pelan tindakan bagi menggariskan program dan inisiatif telah Berjaya menghasilkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2012-2016 dengan matlamat dan sasaran yang jelas dan akan melibatkan serta memberi manfaat kepada golongan sasar.

PIPFN mensasarkan semua lapisan masyarakat; peniaga kecil atau besar ataupun bakal usahawan di beri peluang untuk bersama-sama menceburi bidang perniagaan francais.PIFN juga memberi focus pada sector tradisonal(makanan dan minuman, pakaian,kedihatan dan kecantikan) kepada sektro baru yang tersenarai dalam Model Baru Ekonomi(MBE) dan Rancangan Malaysia ke -10 (RMK-10) seperti pelajaran dan perkhidmatan hijau, pelancongan-kesihatan,produk dan perkhidmatan mematuhi syariah untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan negara Islam serta negara lain yang mempunyai potensi.

INDUSTRI francais Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara.Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh berkata, setakat ini, sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara antaranya Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe.
Sehingga kini, sejumlah 587 francais telah berdaftar di Malaysia iaitu 69 peratus adalah jenama francais tempatan. Secara ringkasnya, pembangunan industry francais di Malaysia menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembangan melalui system francais dan Setakat ini jumlah francaisor tempatan adalah 29 peratus melibatkan Bumiputera dan 71 adalah bukan Bumiputera. Francaisinya pula kebanyakannya adalah Bumiputera. Mohamad Shukri berkata, produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia sendiri adalah sebuah negara Islam.

Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara. Kelebihan yang dimiliki Malaysia seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh usahawan francais untuk memasarkan jenama mereka ke pasaran dunia terutama di Timur Tengah dan negara majoriti penduduk Islam. “Kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara. “Kerajaan akan membantu usahawan francais ke luar negara. Kerajaan memberikan maklumat dan sokongan tambahan apabila berada di pasaran luar. Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Mohamad Shukri Salleh berkata, setakat ini sebanyak 726 syarikat francais berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan MFA menyasarkan 800 hingga 850 syarikat francais akan berdaftar menjelang akhir tahun ini. Perniagaan francais juga berdepan dengan pelbagai cabaran iaitu kesedaran untuk meletakkan jenama Malaysia ke kelas dunia.

SISTEM SOKONGAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Sudah tentu terdapat sokongan, bantuan dan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan agensi luar dalam bagi memperkasahkan industri francais di Malaysia, baik dari pihak Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,pihak Persatuan Francais Malaysia (MFA), Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) mahupun pihak Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Akademi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang di tubuhkan pada tahun 2011, sentiasa bersedia untuk menyediakan latihan kepada francaisor, francaisi, perunding francaisi dan masyarakat awam tempatan berkenaan industri francais, manakala Perunding francais di Malaysia biasanya dilantik oleh francaisor itu sendiri. Diantara peranan perunding francais adalah memberikan pendekatan tentang bagaimana cara membangunkan dan mengembangkan perniagaan francais serta memberikan nasihat tentang pemasaran, pengiklanan dan latihan (Softskill, Program Latihan Francais dan Program Kesedaran yang merangkumi forum dan perkongsian ilmu). Perunding juga boleh membantu menyediakan penyelesaian hujung ke hujung untuk francaisor menukar perniagaan sedia ada bagi memenuhi kriteria ROF untuk menjadi francaisor, membantu menyerahkan pendaftaran francais mereka dan memantau prestasi outlet francaisi untuk tempoh tertentu. Khidmat panel perunding ini digunakan dalam program penukaran francais PPFT, DBFP dan Projek Siap Guna.

Selain itu, Akedemik PNS berperanan melaksana dan menjadi peneraju dalam membangunkan industri francais di Malaysia dibawah seliaan KPDNKK, termasuklah menyediakan kemudahan pembiayaan. Diantara skim pembiayaan yang ditawarkan oleh Akademik PNS adalah skim skim pembiayaan kontrak, skim skim pembiayaan franciasor, pembiayaan lisensi, pembiayaan francais dan skim pembiayaan prafrancais. Akdemik PNS juga turut memberi sokongan dan khidmat nasihat terhadap perniagaan francais termasuk perkongsian ilmu perniagaan dan pengalaman daripada pihak yang telah berjaya bertujuan untuk membantu dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi usahawan francais.

Badan bukan kerajaan seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA), juga sering bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk membangunkan industri francais tempatan dan menjadi perantara ahli-ahli MFA dari industri francais dengan kerajaan. MATRADE juga tidak ketinggalan turut serta bekerjasama dengan KPDNKK, PNS dan MFA untuk mempromosikan francais tempatan melalui promosi di luar negeri.Oleh yang demikian, Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) telah disediakan bagi mendokong pembangunan industry francais negara dengan mensasarkan industry francais menyumbang sebanyak RM 24 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sebagai peneraju perkembangan industry francais negara melihat sasaran suatu yang rialestik. Namun, bagi mencapai matlamat ini, industry francais perlu kukuh dan PNS dari masa ke semasa berusaha melaksanakan pengukuhan kualiti secara serentak daripada dalam dan luar organisasi, antaranya akreditasi Persijilan ISO 9001:2008.

Melalui PNS penganjuran acara berprestij iaitu PNS Franchise Summit 2013, merupakan salah satu inisiatif dalam menyokong pembangunan industry francais. Acara ini akan mengumpulkan semua penggiat francais di bawah satu bumbung. Malah, PNS Franchise Summit 2013 yang bertemakan Nurture, Transform and Expand turut mengetengahkan trend francais terkini dan cabaran-cabaran yang memberi kesan pada industry francais.

Tahun 2016 ataupun tahun monyet ini pastinya memberi faedah kepada semua. Berdasarkan usaha penggiat-penggiat francais ini yang berjaya, tidak salahlah para penggiat lain menjadikan mereka sebagai contoh yang terbaik dalam mengembangkan perniagaan. Persatuan Francais Malaysia (MFA) turut sedia membantu para penggiat francais di Malaysia ini dengan adanya program yang disediakan. Francais International Malaysia, pameran francais terbesar Asia yang bakal diadakan pada 6-8 Mei ini turut menjadi platform terbaik bagi mengembangkan perniagaan para penggiat francais. Jangan lepaskan peluang yang ada ini kerana tahun 2016 pasti menjadi tahun yang menggemparkan.

Konsep 1MSF(1 Malaysia stesen Francais) ini telah diperkenalkan oleh KPDNKK, bermula dengan pelancaran 1MSF@KPDNKK di puterajaya pada 19 Oktober 2011, KPDNKK sedang berusaha membangunkan lebih banyak francais mikro yang memerlukan modal permulaan yang kecil yang kurang daripada RM50,000 untuk menawarkan kepada masyarakat terutamnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana termasuk yang bekerja sendiri,pesara,wanita,ibu tunggal,orang kurang upaya, peluang untuk berkecimpung dalam perniagaan francais. Setiap usahawan harus melihat dalam mengetengahkan konsep perniagaan francais yang berkualiti dan berdaya saing serta boleh menghala tuju industri francais tempatan ke era lebih global, program-program memperkasahkan perniagaan ini haruslah berterusan dan di rangka secara tersusun bagi mendapat impak yang sangat positf di masa akan datang. (www.kpdnkk.gov.my)
           
CABARAN / HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA

            Cabaran dan halangan pasti wujud dalam perniagaan walaupun perniagaan francais yang dianggap sebagai satu jalan pintas dalam usaha meningkatkan penyertaan bumiputera dalam perniagaan, walaubagaimanapun terdapat beberapa cabaran dan halangan yang menjejaskan minat mereka sebagai francaisi dan francaisor.
Cabaran / halangan francaisi
1.         Modal keseluruhan.
Yuran francaisi adalah dalam satu jumlah yang besar dan tidak dikembalikan, francaisi juga perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian asset dan pengubahsuaian kedai, ; Royalti Bulanan - Royalti perlu dibayar mengikut peratus jualan bulanan. Francaisi perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan, Walapun francaisi hanya menggunakan jenama francaisor tersebut. Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi. ; Yuran Iklan-Yuran iklan yang dibayar akan digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi. Tetapi sebaliknya ia mungkin tidak mempromosikan perniagaan francaisi itu sendiri

2.         Tidak memberi kebebasan kepada francaisi.

Dalam pemilihan lokasi, Francais biasanya akan mencadangkan lokasi kepada francaiso dan seterusnya membuat lawatan dan memberikan pandangan bagi memastikan kesesuaian lokasi. Sekiranya francaiso pada pendapatnya tidak sesuai maka francaiso akan membantu mencari kawasan yang difikirkan strategik.Hiasan Dalaman & Konsep Perniagaan, Sekiranya terdapat francaisor yang suka menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Segala kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaanya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform & sistem komputer. Penjualan Produk dan Perkhidmatan, Francaisi tidak boleh menjual produk atau perkhidmatan lain selain daripada milik frabcaiso kerana Francaisor mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi.
Operasi Perniagaan, terdapat sebilangan Francaisor mengawal waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga francaisi tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan. Pengedar juga perlulah dari pengedar yang diluluskan oleh francaisor, walaupun francaisi boleh mendapatkan barang dari pengedar yang lebih murah.
Kawalan ke atas Hak Wilayah (Territorial Rights) ini bertujuan untuk menggelak daripada bersaing dengan francaisi lain. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghalang francaisi membuka cawangan lain atau berpindah ke lokasi lain. Francaisor juga ada hak untuk menghalang francaisi membuat website sendiri.

3.         Pemilihan Francaisor perlu dilakukan dengan teliti.
Kelemahan Akta dan peraturan sedia ada perlu dibuat penambahbaikan bagi menjaga urustadbir perniagaan francais di Malaysia supaya ianya tidak menjejaskan kemajuannya bagi menjamin tidak ada pihak yang teraniya dalam perniagaan ini. Ini kerana Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.

4.         Perlu komitmen yang tinggi daripada francaisi.
Francaisi juga diminta agar berusaha membangunkan sendiri pasaran perniagaannya, meningkatkan penguasaan pasaran, memaksimakan keuntungan serta bersaing dengan pesaing terdekat dalam pasaran. Francaisi bukan sahaja sekadar perlu mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi. Francaisi perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, memiliki kepercayaan kepada produk serta sentiasa menjalankan penyelidikan.

6.         Penamatan dan pembaharuan kontrak
Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi melanggar perjanjian francais. Kontrak ini sah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui dan tiada jaminan atas pembaharuan kontrak. Penamatan Kontrak - Francaisor boleh menamatkan kontrak sekiranya francaisi gagal membayar royalti, gagal menunjukkan prestasi yang menguntungkan dan lain-lain sebab yang munasabah. Segala pelaburan francaisi akan hilang apabila kontrak tamat. Di Malaysia, setiap perjanjian francais adalah untuk 5 tahun. ; Pembaharuan Kontrak - Pembaharuan kontrak tidak berlaku secara otomatik. Segala terma dan syarat mungkin akan berubah. Antaranya kenaikkan kadar bayaran royalti, membuat pengubahsuaian kedai, menggurangkan hak wilayah dan kawalan atas jualan. Semua pembaharuan ini berkemungkinan untuk memberi peluang kepada francaisi lain.

Cabaran / halangan francaisor

1.         Dari segi Kos – Pembangunan Perniagaan dalam sistem francais bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia memerlukan masa dan membabitkan kos yang tinggi dan secara purata pembangunan sesuatu sistem francais baru akan mengambil masa di antara 5 hingga 10 tahun serta melibatkan kos di sekitar RM200 ribu hingga RM1 juta bergantung kepada jenis produk yang di niagakan.
2.         Perkhidmatan – Francaisor bertanggungjawab atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Maka sebagai Francaisor bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi bukan sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan selagi perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi. Rangkaian perniagaan yang besar pastinya memerlukan perkhidmatan sokongan serta pasukan pengurusan dan pengawalseliaan yang berkesan.
3.         Reputasi – ini berlaku sekiranya francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk, sudah tentu nama atau reputasi francaisor akan terjejas memberi kesan yang tidak baik.
4.         Pemilihan francaisi – Perniagaan francais adalah satu system saling kebergantungan, meskipun pelantikan francaisi adalah menerusi perjanjian secara kontrak, namun proses pemilihan francaisi adalah sangat kritikal bagi memastikan hanya mereka yang sesuai dan memenuhi keperluaan sahaja dilantik.
5.         Kerahsian –Kebertanggungjawaban Francaisor adalah sangat perlu bagi perkongsian pengalaman serta kepakaran dengan francaisinya.Perkongsian diantara francaisor dan francaisi juga memungkinkan perkongsian rahsia-rahsia perniagaan yang mempunyai risiko peniruan dan kebocoran formula produk.
6.         Penipuan – Kemungkinan yang akan berlaku kepada Pihak francaisor ketika menghadapi penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang pesat. Akibat Kegagalan francaisor menangani masalah sedemikian boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pemfrancaisan.

MASA DEPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

            Di Malaysia walaupun walaupun belum banyak produk francais tempatan difrancaiskan ke luar negara, namaun beberapa francais tempatan telah Berjaya mengembangkan jenama mereka ke luar negara, antarnya Langkawi Crystall, Marry brown Chicken, Nelson’s dan sugar Bun. Ketika ini, sejumlah 587 francais telah berdaftar di Malaysia iaitu 69 peratus adalah jenama francais tempatan. Ringkasnya pembangunan industry francais di Malaysia sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang melalui system francais.
           
Mewujudkan rangkaian perniagaan francais di dalam pembangunan koridor ekonomi dan mempromosikan jenama francais di setiap negeri contohnya koridor utara yag berasaskan pertanian (Jelapang padi) dan wilayah pembangunan Iskandar (IRDA) dalam hub pendidikan. Dengan adanya penorakaan seperti ini sudah tentu industri francais di Malaysia akan lebih maju dan berkembang.

Meningkatkan penglibatan jenama francais tempatan dalam promosi francais antarabangsa dengan kerjasama strategik dengan syarikat- syarikat Malaysia di luar negara yang telah berjaya bagi membantu dan memberikan motivasi kepada pengusaha francais baru. Disamping itu juga, kerajaan perlu meingkatkan promosi dengan mengambil peluang status Malaysia sebagai sebuah negara islam yang progresif untuk mengeksport perniagaan francais ke pasaran islam. Membuat kolaborasi dengan JAKIM dan Halal Development Corporation (HDC) bagi memperkenalkan kreteria perniagaan francais yang mematuhi syariah (standard halal Malaysia) agar produk tempatan dapat diterima dan menembusi pasaran antarabangsa.

Kementerian juga berharap lebih banyak penyertaan usahawan dalam industri francais tempatan terutama daripada pihak koperasi yang dilihat mempunyai kapasiti dan peluang yang besar untuk berkembang dalam industri francais dan diharapkan lebih banyak pengelibatan francais tempatan seperti pelancongan dan perubatan, produk dan perkhdimatan, pematuhan syariah dieksplorasi oleh usahawan francais tempatan ketika ini.

Kesimpulan

Pertumbuhan rangkaian perniagaan francais mampu menyediakan peluang pekerjaan, kerana umumnya perniagaan kecil dan sederhana lebih mudah dan cepat dari segi pengambilan tenaga kerja. Sistem francais juga boleh membantu mewujudkan budaya baru di dalam menjalankan perniagaan dengan penekanan diberikan kepada aspek-aspek disiplin yang tinggi, perkhidmatan pelanggan yang berkualiti, kebersihan dan keseragaman. Pemantapan budaya perniagaan seperti ini penting bagi membolehkan perniagaan tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.


Kualiti serta mutu barangan dan perkhidmatan juga harus dititik beratkan oleh francaisor dan francaisi. Amalan etika perniagaan yang baik harus sentiasa diaplikasikan kepada pelanggan atau pengguna produk mereka. Ini untuk menjamin kelansungan perniagaan dan menggalakkan pengguna atau pelanggan untuk sentiasa membeli secara berulang-ulang Peranan kerajaan penting untuk mengatur semula pelaksanaan dasar industri francais. Pihak francaisor dan francaisi haruslah sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan industri francais terus kukuh     dan berkembang selaras dengan matlamat pembangunan Negara.

No comments:

Post a Comment